PROSES pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswarman, Taman Rawang Perdana, Gombak berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kerja pemindahan itu berlangsung jam 9.30 malam sehingga jam 4.12 pagi tadi.
Menurutnya, seramai 10 penganut dan wakil pengurusan kuil terlibat dalam pemindahan kesemua empat patung berhala dari tapak berkenaan.
“Pihak pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak kuil tersebut pada awal pagi setelah segala urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.
“Sepanjang proses tersebut berlangsung, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan dipantau pihak PDRM,” katanya.
Shazeli turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati saluran perundangan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta agama.
Menurutnya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan serta pemilik tanah yang sah.
“Polis memberikan amaran keras terhadap sebarang cubaan mensabotaj keamanan melalui platform digital.
“Polis juga akan memantau ketat penularan maklumat di media sosial serta memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berunsur 3R (agama, bangsa dan diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.


