53 murid perempuan sebuah sekolah di Iran maut akibat serangan Israel-AS

SEBUAH  sekolah rendah perempuan di bandar Minab, selatan Iran, dilaporkan terkena serangan secara langsung dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas beberapa bandar Iran hari ini , menurut pihak berkuasa Iran.

Pegawai tempatan di wilayah Hormozgan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 53 pelajar terbunuh, manakala beberapa yang lain cedera.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, mengecam serangan ketenteraan oleh Israel dan AD, sambil menegaskan bahawa angkatan bersenjata negara itu akan mempertahankan kedaulatannya secara tegas.

“Angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan mempertahankan negara ini dengan tegas. Ini adalah perjuangan nasional yang dipaksakan ke atas kami,’’ kata Baghaei kepada Mehr News Agency.

Serangan tersebut mencetuskan tindak balas pantas daripada Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC), dengan pelancaran peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu, kurang daripada dua jam selepas serangan berlaku.

Baghaei menegaskan bahawa tindakan AS-Israel itu merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, yang berlaku ketika bulan suci Ramadan dan menjelang Tahun Baharu Parsi (Nowruz)

“Tindakan ini adalah satu jenayah yang jelas dan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Ia erlaku pada hari kesepuluh bulan suci Ramadan dan pada malam menjelang Nowruz, dan tidak mempunyai sebarang justifikasi,’’ katanya.

Jurucakap Kementerian Luar itu turut menolak dakwaan Presiden AS Donald Trump, bahawa serangan tersebut bertujuan melindungi rakyat Amerika.

“Ini adalah satu pembohongan yang nyata., Republik Islam Iran sentiasa menegaskan penggunaan tenaga secara aman dan tidak pernah memulakan peperangan,’’ katanya.

Situasi tersebut turut menerima kecaman daripada sebahagian pemerhati antarabangsa, walaupun tindak balas bersatu daripada United Nations Security Council dilihat tidak mungkin berlaku.

Kepentingan AS di Asia Barat yang menjadi sasaran tindakan balas Iran. GAMBAR X.

Baghaei memberi amaran bahawa konflik yang semakin memuncak itu boleh mengancam kestabilan norma dan institusi antarabangsa.

“Serangan ini… boleh menandakan permulaan kepada pengakhiran institusi dan norma antarabangsa. Dan seharusnya membimbangkan semua negara,’’ kata beliau.

Diplomat itu menegaskan bahawa serangan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memerlukan respons serius daripada masyarakat antarabangsa.

Iran dan AS sebelum ini bersetuju untuk menghadiri pusingan keempat rundingan nuklear di Vienna minggu hadapan, susulan perbincangan paling serius mereka di Geneva pada Khamis.

AS sebelum ini menggagalkan rundingan diplomatik dengan Iran pada Jun 2025 dengan melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran bersama Israel menjelang pusingan keenam rundingan yang dijadualkan.

Baghaei turut memberi amaran bahawa Iran tidak mempunyai pilihan selain menyasarkan mana-mana negara serantau yang membenarkan AS dan Israel melancarkan serangan lanjut terhadap Iran melalui ruang udara mereka.

“Rakyat Iran ialah bangsa yang cintakan keamanan dan mencari perdamaian, namun tegas dan bertekad mempertahankan maruah, kedaulatan negara dan integriti wilayah mereka dengan segala kemampuan. Bukan Iran yang memulakan perang ini,’’katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img