PELANTIKAN seorang Panglima Angkatan Tentera (PAT) bukan sekadar pertukaran jawatan kepimpinan tertinggi ketenteraan negara.
Ia menandakan permulaan kepada suatu falsafah pemerintahan angkatan iaitu satu kerangka pemikiran yang menentukan bagaimana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berfikir, bertindak dan bersedia menghadapi masa depan keselamatan negara.
Dalam era keselamatan yang semakin tidak menentu, kepimpinan ketenteraan tidak lagi boleh bergantung kepada model tradisional yang berorientasikan struktur semata-mata.
Falsafah Kepimpinan (Command Philosophy) Angkatan Masa Depan menuntut perubahan asas daripada pendekatan arahan kepada pendekatan tujuan strategik di mana setiap anggota memahami bukan sahaja apa yang perlu dilaksanakan tetapi mengapa amanah tersebut digalas demi negara. F
alsafah ini juga mengambil kira kupasan serta penegasan yang digariskan dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera yang menekankan kesatuan angkatan, integriti kepimpinan dan kesiapsiagaan menyeluruh sebagai teras kekuatan ATM.
Falsafah kepimpinan ini berteraskan lima prinsip utama.
Pertama: Kepimpinan berasaskan amanah negara.
ATM wujud bukan untuk dirinya sendiri, tetapi sebagai pelindung kedaulatan negara dan kestabilan nasional.
Setiap keputusan operasi, pentadbiran dan pembangunan keupayaan mesti berpaksikan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu atau organisasi. Kuasa perintah dalam ATM adalah amanah strategik bukan keistimewaan hierarki selaras dengan roh Perintah Ulung PAT yang menegaskan bahawa kepimpinan tentera merupakan tanggungjawab kepada negara, Raja dan rakyat.
Kedua: Kesatuan Angkatan sebagai kuasa tempur utama.
Angkatan Masa Depan menolak pemikiran silo antara perkhidmatan. Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia merupakan satu entiti tempur nasional.
Kejayaan masa hadapan bergantung kepada keupayaan Joint Force yang beroperasi secara bersepadu, pantas dan saling memperkukuh dalam semua domain operasi. Penekanan ini sejajar dengan kupasan Perintah Ulung PAT yang menyeru penyatuan kekuatan angkatan sebagai prasyarat utama keberkesanan pertahanan negara.
Ketiga: Integriti sebagai elemen pencegahan.
Dalam peperangan moden, reputasi institusi merupakan sebahagian daripada kekuatan strategik negara. Integriti kepimpinan dan profesionalisme anggota membentuk keyakinan rakyat serta kredibiliti antarabangsa. Angkatan yang dipercayai rakyat memiliki kelebihan psikologi yang tidak dapat digantikan oleh teknologi atau persenjataan. Perintah Ulung PAT secara jelas mengangkat integriti dan tadbir urus berwibawa sebagai asas pemulihan keyakinan terhadap institusi pertahanan sekali gus menjadikannya komponen langsung kepada daya cegah nasional.
Keempat: Manusia sebagai pusat kesiapsiagaan.
Keupayaan tempur bermula daripada kesejahteraan moral dan mental anggota. Falsafah kepimpunan ini mengiktiraf bahawa keluarga tentera, kebajikan anggota, pembangunan kepimpinan muda serta kekuatan semangat juang merupakan komponen langsung kepada kesiapsiagaan pertahanan negara.
Angkatan yang kuat ialah angkatan yang menjaga manusianya, suatu prinsip yang turut ditegaskan dalam Perintah Ulung PAT bahawa kekuatan ATM bermula daripada kesejahteraan warganya.
Kelima: Kesiapsiagaan berterusan dalam Era ketidaktentuan.
Ancaman masa hadapan jarang hadir dalam bentuk peperangan konvensional. Konflik hibrid, peperangan maklumat dan tekanan strategik berpanjangan menuntut ATM sentiasa berada dalam keadaan bersedia tanpa menunggu krisis.
Kepimpinan Angkatan Masa Depan menekankan budaya anticipatory readiness keupayaan menjangka dan mencegah sebelum ancaman berkembang sebagaimana digariskan dalam aspirasi kesiapsiagaan berterusan melalui Perintah Ulung PAT.
Melalui falsafah ini, Panglima Angkatan Tentera menetapkan bahawa kejayaan ATM tidak hanya diukur melalui kemenangan di medan perang, tetapi melalui keupayaan mengekalkan keamanan negara tanpa perlu berperang.
Deterrence yang kredibel lahir daripada kombinasi kesiapsiagaan operasi, kesatuan organisasi dan keyakinan nasional terhadap angkatan tenteranya. Falsafah kepimpinan angkatan masa depan turut menuntut transformasi budaya kepimpinan di semua peringkat pemerintahan. Setiap pemerintah bukan sekadar pelaksana arahan tetapi penjaga maruah institusi dan pembina generasi angkatan seterusnya.
Dalam konteks ini, Perintah Ulung PAT berfungsi sebagai kompas strategik yang menyatukan hala tuju kepimpinan daripada peringkat tertinggi sehingga ke medan operasi.
Dalam dunia yang berubah pantas, kekuatan sebenar sesebuah angkatan tentera terletak pada keupayaannya mengekalkan prinsip walaupun berhadapan tekanan.
Angkatan masa depan adalah manifestasi kepada tekad ATM untuk kekal sebagai institusi pertahanan yang profesional, dipercayai dan bersedia mempertahankan negara dalam apa jua keadaan .
Ia kerana pada akhirnya, senjata boleh dibina, teknologi boleh diperoleh tetapi semangat angkatan hanya lahir daripada falsafah kepimpinan yang jelas, diyakini dan dipandu oleh amanat tertinggi kepimpinannya. Melalui falsafah inilah jugalah arah ATM bagi masa hadapan ditentukan.


