Mojtaba Hosseini dilantik ganti Allahyarham Ali Khamenei

MOJTABA Hosseini Khamenei, anak kepada  Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan telah dipilih sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu.

Televisen Iran melaporkan, Dewan Pakar (Assembly of Experts)  Iran telah memilih  Mojtaba bagi menggantikan Ali Khamenei  yang  terbunuh dalam serangan gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas kompleks kediaman Khamenei di Tehran pada 28 Februari lalu.

Dewan Pakar Iran merupakan perhimpunan ulama yang memilih dan memantau tugas Pemimpin Tertinggi Iran.

Mojtaba 56 tahun adalah  anak kedua tertua Ali Khamenei dan dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Walaupun sebelum ini ramai percaya Mojtaba merupakan calon utama untuk menggantikan Khamenei namun Dewan Pakar Iran itu mempunyai pandangan  berbeza. Tambahan pula Allahyarham Khamenei sendiri dilaporkan tidak memasukkan nama Mojtaba dalam senarai calon pengganti yang disediakan tahun lalu.

Manakala kalangan ulama Syiah Iran, pewarisan kepimpinan daripada bapa kepada anak tidak dipandang positif.

Namun begitu, Mojtaba dilihat bersedia mengambil alih teraju kepimpinan Iran dalam dalam tempoh yang penuh ketegangan bagi negara itu ketika ini.

Mojtaba berkahwin dengan Zahra Haddad-Adel, anak perempuan Gholam-Ali Haddad-Adel, seorang ahli politik konservatif Iran dan bekas Speaker Parlimen. Mereka dilaporkan berkahwin pada tahun 2004.

Zahra turut dilaporkan terbunuh dalam serangan AS dan Israel baru-baru ini.

Mereka dilaporkan mempunyai tiga orang anak, namun tidak banyak maklumat terperinci mengenai anak-anak tersebut.

Mojtaba dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2019. Bagaimanapun laporan Bloomberg mendapati beliau masih berjaya membina empayar hartanah global dan menyalurkan dana yang dilaporkan mencecah berbilion dolar ke pasaran Barat.

Nilai kekayaan sebenar Mojtaba tidak diketahui, tetapi beberapa sumber menyatakan beliau merupakan seorang bilionair dan  mengurus sebuah empayar pelaburan yang sangat besar.

Kekuatan kewangannya dilaporkan merangkumi akaun bank di Switzerland dan sebuah hartanah mewah di United Kingdom bernilai lebih daripada AS$138 juta (RM544.8 juta), menurut laporan tersebut.

Ben Cowdock, Ketua Penyiasatan Kanan di Transparency International UK, mengkritik pelaburan Mojtaba di Britain.

“Semakin jelas bahawa individu yang rapat dengan pemimpin politik Iran telah melabur secara besar-besaran di Britain. Pasaran hartanah kita tidak sepatutnya berfungsi sebagai tempat perlindungan selamat bagi kroni-kroni yang membiayai rejim yang menindas,’’ katanya.

 Mojtaba  tidak pernah memegang jawatan dan tidak mempunyai peranan rasmi dalam rejim tersebut. Namun, beliau dipercayai mempunyai pengaruh yang besar di belakang tabir. Beliau pernah berkhidmat dalam angkatan tentera Iran semasa Perang Iran-Iraq.

Walaupun mungkin terdapat penolakan terhadap pemilihannya berdasarkan prinsip Syiah, ramai pemimpin kanan tentera Iran juga telah dineutralkan dalam serangan terhadap negara itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img