UMNO sedia terima kembali ahli dipecat, digantung – Ahmad Zahid

UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.

Menurut beliau, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.

“UMNO melihat kesempatan ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, hakikatnya sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses itu dengan segera melalui tata cara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 Januari lalu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli.

Beliau berkata, penyertaan semula itu boleh secara individu atau en bloc.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebelum ini turut memaklumkan pelaksanaan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan UMNO dijangka menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai medan awal penilaian keberkesanan pendekatan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img