LAPAN lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di tapak Bazar Ramadan Sabindo di Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya mengesan kejadian itu selepas satu video pergaduhan membabitkan beberapa lelaki tular di media sosial.
Katanya, pada jam 8.37 malam, seorang pegawai polis membuat laporan selepas melihat video berkenaan yang dipercayai berlaku di bazar berkenaan.
“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi dan berjaya menahan lapan lelaki berumur antara 17 hingga 34 tahun di beberapa lokasi sekitar Tawau.
“Daripada jumlah itu, tujuh adalah warga tempatan manakala seorang lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas satu utas rantai motosikal yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus akibat rasa tidak puas hati antara dua kumpulan terbabit.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di lokap IPD Tawau dan polis akan memohon perintah reman selama empat hari esok bagi membantu siasatan lanjut.


