Konflik antarabangsa: Anwar nasihatkan rakyat berhemah dalam perbelanjaan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan orang ramai supaya  sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik antarabangsa ketika ini.

Katanya, dunia sedang berdepan pelbagai konflik yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak serta kos barangan asas.

“Dalam keadaan sekarang yang masih terkawal, saya ingin mengingatkan rakyat supaya lebih cermat, berjimat dan cuba menyimpan.

“Dalam bulan puasa dan hari raya nanti, jangan terlalu boros kerana kita belum tahu berapa lama keadaan ekonomi ini boleh bertahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul al-Quran 1447H di Permatang Pauh.

Beliau berkata, perang yang berlaku di Iran menyebabkan harga minyak dunia melonjak sehingga dua kali ganda, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi global.

Bagaimanapun, kata Anwar, kerajaan masih berusaha mengekalkan harga bahan api pada kadar semasa demi mengurangkan beban rakyat.

“Saya cuba pertahankan harga selagi boleh termasuk pada kadar RM1.99 (seliter). Kita berdoa mudah-mudahan dapat dipertahankan walaupun kita tidak tahu sampai bila kerana harga minyak dunia sudah naik hampir dua kali ganda,” katanya.

Anwar turut menjelaskan  keadaan menjadi lebih rumit apabila laluan penting perdagangan dunia di Selat Hormuz terjejas apabila kapal-kapal pengangkut minyak dan gas disekat.

“Lebih 200 kapal tangki besar yang membawa minyak, gas serta peralatan kejuruteraan kini tersekat di laluan berkenaan, menyebabkan kos pengangkutan meningkat.

“Situasi itu turut memberi kesan kepada harga makanan dan baja yang dibawa dari beberapa negara seperti Ukraine, Rusia dan Eropah. Semua ini menyebabkan kos meningkat dengan mendadak dan memberi kesan kepada harga barang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengadakan pertemuan bagi mencari jalan untuk mengekang kesan kenaikan kos tersebut terhadap rakyat tetapi pada masa sama mahu mereka  bersedia dan lebih bijak mengurus kewangan sekiranya keadaan ekonomi global menjadi lebih mencabar.

“Kalau datang kegawatan ekonomi yang besar, ia bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan. Sebab itu rakyat perlu sama-sama sedar dan saling membantu. Saya berharap rakyat terus diberikan kekuatan dan kesejahteraan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img