Konflik Asia Barat: Ku Li gesa kerajaan cari mekanisme baharu ringankan beban rakyat

KERAJAAN dicadangkan mencari satu mekanisme baharu bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi keadaan ekonomi yang terkesan susulan konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang masih berlarutan.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, langkah itu perlu bagi membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sambil menjangkakan perang berlarutan serta memberi kesan kepada rakyat di negara ini, Tengku Razaleigh berkata, konflik akan menyebabkan harga minyak melambung tinggi dan turut memberi kesan kepada Malaysia walaupun tidak terbabit dengan perang.

Beliau menjelaskan, negara yang terbabit atau terkesan akibat konflik berkenaan adalah pengeluar minyak terbesar, antaranya Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain yang juga akan menghadapi kesulitan.

“Mereka bukan tak mahu jual (minyak), tapi nak jual pun susah. Jadi sudah tentu harga minyak akan melambung naik dan kalau harga minyak naik, sudah tentu barang-barang keluaran negara-negara maju juga menghadapi masalah.

“Kita negara kecil yang menjadi pengguna, mengimport banyak barang yang dikeluarkan negara maju ini. Sudah tentu akan bayar dengan harga mahal kalau kita terus import barang-barang ini.

“Apakah daya kerana kita tidak mengeluarkan semua barang yang kita perlu. Saya rasa satu pemikiran baharu kena dilakukan untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Bukit Chekati, di Gua Musang malam tadi, lapor BH.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Gua Musang dan veteran UMNO itu berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk meringankan kehidupan rakyat, terutama sekali sekarang menjelang hari raya dan masalah lain dihadapi.

Tengku Razaleigh turut bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua pihak menguruskan perbelanjaan secara berhemah susulan konflik yang berlaku.

“Baguslah saranan dan nasihat PM itu supaya rakyat berjaga-jaga dan mengawal kedudukan (perbelanjaan) masing-masing. Berjimat cermat adalah satu usaha yang dipuji dalam keadaan kita menghadapi musibah perang ini.

“Oleh itu kita perlu berjimat dan membuat pilihan yang baik untuk negara, namun masalah tetap timbul kerana pendapatan kita rendah dan ringgit kita masih tak naik,” katanya.

Anwar semalam menasihatkan semua pihak supaya menguruskan perbelanjaan dengan berhemat susulan konflik di antara Iran dan AS-Israel yang masih berlarutan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img