MENTERI Luar Iran Abbas Araghchi menyifatkan ancaman terbaru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menyerang dan membunuh rakyat Iran merupakan bukti jelas pengakuan melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Beliau berkata demikian dalam sepucuk surat rasmi yang dihantar kepada Antonio Guterres, Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta para menteri luar negara anggota PBB.
Araghchi menegaskan Trump membuat ancaman ketika serangan ketenteraan AS dan Israel telah menyasarkan sekolah, hospital, bangunan kediaman, infrastruktur awam, dewan sukan serta pusat bantuan di seluruh Iran.
Menurut beliau, serangan tersebut telah mengorbankan lebih 1,300 orang awam.
Menteri luar Iran itu turut mendakwa bahawa serangan AS-Israel telah memusnahkan sebanyak 9,669 lokasi awam, termasuk 7,943 unit kediaman, 1,617 pusat perniagaan, 32 pusat perubatan dan farmaseutikal, 65 sekolah dan institusi pendidikan serta 13 bangunan milik Palang Merah. Beberapa kemudahan infrastruktur tenaga juga dilaporkan musnah.
Kelmarin Trump melalui platform media sosial Truth Social mengancam untuk memperluaskan serangan terhadap Iran.
Beliau menyatakan bahawa “kawasan dan kumpulan orang yang sebelum ini tidak dipertimbangkan sebagai sasaran” kini akan diberi pertimbangan serius untuk “pemusnahan sepenuhnya dan kematian yang pasti”.
Araghchi menyifatkan ancaman tersebut sebagai tindakan berani yang secara jelas menunjukkan pengakuan Trump terhadap jenayah perang terhadap rakyat Iran.
Araghchi menegaskan bahawa kenyataan Trump itu merupakan “pengakuan jelas tanggungjawab” terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang didakwa berlaku di Iran sejak 28 Februari lalu.
Beliau menambah bahawa Iran akan terus mempertahankan haknya untuk mempertahankan diri secara sah sehingga Majlis Keselamatan PBB melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Piagam United Nations bagi melindungi keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Menurut Araghchi, kenyataan Trump juga mewujudkan tanggungjawab antarabangsa terhadap AS serta tanggungjawab jenayah antarabangsa terhadap Presiden AS itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa AS wajib membayar pampasan sepenuhnya atas kerosakan dan kerugian yang dialami Iran serta rakyatnya akibat pelanggaran berterusan tersebut.
Di akhir kenyataannya, Araghchi menyeru Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghentikan jenayah perang yang didakwa sedang berlaku serta memastikan AS dan Trump dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata tindakan sedemikian penting untuk menamatkan budaya kekebalan daripada hukuman dan menghalang normalisasi pelanggaran undang-undang antarabangsa.


