POLIS sedang melengkapkan kertas siasatan kes samun berkumpulan membabitkan enam lelaki termasuk tiga penjawat awam di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya dalam tindakan mengemas kini kertas siasatan.
“Kita dalam tindakan kemas kini (kertas siasatan). Apabila ia dilengkapkan, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Media semalam melaporkan enam suspek terdiri daripada tiga polis dan tiga orang awam itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Shazeli dilaporkan berkata, semua suspek yang direman sehingga 8 Mac dibebaskan dengan jaminan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang diberkas bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang berlaku di daerah Gombak pada jam 7.30 pagi, 27 Februari lalu.
Semua suspek ditahan dalam operasi khas bermula 2 Mac lalu dan pemeriksaan mendapati salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau.


