SEORANG kakitangan bank dan pelajar antara lapan individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang pada tahun lalu.
Kesemua tertuduh, Nur Alya Nadhira Che Hassan, 22; Nurul Natasha Mohammad Shukri, 23; Muhamad Samerin Shahrom, 35; Mohamed Aizat Rosmadi, 28; Aizal Abuk Bakar, 23; Mohammad Zaini Yusoff, 27; Muhammad Azizi Abd Ghafar, 22, dan Muhamad Fitri Abdul Karim, 31, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Adik Labu Besar’ antara Mac hingga 16 Oktober 2025, lapor Sinar Harian.
Mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen Vista Perdana di Jalan Kampung Gajah, Kampung Gajah, Butterworth.
Oleh demikian, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V Suloshani dan Maryam Jamielah Ab Manaf.
Peguam Manjit Singh Mann mewakili Nurul Natasha manakala tujuh tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mana-mana tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiada jaminan ditawarkan Suloshani terhadap kesemua tertuduh berikutan kes melibatkan keselamatan awam.
Manjit bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan satu jaminan terhadap anak guamnya.
Roslan kemudiannya tidak membenarkan jaminan bagi kesemua tertuduh kerana permohonan jaminan hanya boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi.
“Berkenaan jaminan, mahkamah tidak boleh membenarkannya. Jika ada permohonan (jaminan), boleh dibuat di Mahkamah Tinggi nanti,” katanya.
Kes ditangguh sehingga 4 Mei untuk sebutan semula serta serahan dokumen.
Media semalam melaporkan, lapan ahli kumpulan jenayah pecah rumah yang aktif melakukan sekurang-kurangnya 42 kes dengan kerugian hampir RM1 juta berjaya dilumpuhkan polis menerusi operasi khas yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dalam operasi khas pada 15 Februari lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi khas dinamakan Ops Shadow itu membabitkan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kesalahan jenayah harta benda khususnya kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak 2024 sehingga Oktober 2025.
Semua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk rompak berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat, memiliki serta melupuskan barangan curi selain aktiviti penagihan dadah.


