Penghantar makanan maut dirempuh, nahas pusingan U

PENGHANTAR makanan maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta ketika membuat pusingan U di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Ikhsan, Batu Berendam, Melaka, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kemalangan jam 7.05 malam itu membabitkan motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan sebuah kereta Toyota Corolla Cross Hybrid dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai penunggang e-hailing datang dari arah Peringgit sebelum dipercayai membuat pusingan U di hadapan simpang Taman Ikhsan.

“Pada masa sama, kereta yang dipandu lelaki warga emas itu dipercayai dari arah Taman Sutera Wangi menghala ke Peringgit.

“Setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai tidak sempat mengelak ketika motosikal sedang membuat pusingan U.

“Kereta itu melanggar bahagian sisi kiri motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan yang terbabit nahas dibawa ke Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Alor Gajah bagi pemeriksaan teknikal.

“Pemeriksaan di lokasi kemalangan mendapati terdapat papan tanda larangan membuat pusingan U di kawasan itu.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Afeeq Abdul Latif di talian 014-9706108 atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img