AYATOLLAH Seyed Mojtaba Khamenei, yang baru dipilih sebagai Pemimpin Revolusi Islam Iran, mengeluarkan mesej pertamanya kepada rakyat negara itu dengan menegaskan bahawa Iran tidak akan menggugurkan tuntutan pembalasan terhadap darah para syahid.
Dalam kenyataan yang disiarkan media Iran, beliau memberi jaminan bahawa pembalasan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian rakyat Iran akan terus menjadi keutamaan.
“Saya memberi jaminan kepada semua bahawa kami tidak akan mengabaikan pembalasan bagi darah para syahid. Pembalasan yang kami maksudkan bukan hanya berkaitan dengan kesyahidan pemimpin besar revolusi, tetapi setiap anggota bangsa yang gugur akibat serangan musuh mempunyai fail pembalasan tersendiri,” katanya.
Dalam mesej tersebut, Mojtaba Khamenei turut menyampaikan ucapan takziah atas kematian ayahandanya, Ayatollah Seyed Ali Khamenei, yang disifatkannya sebagai pemimpin berwibawa dan tokoh penting dalam sejarah Iran.
Beliau berkata memikul jawatan yang pernah disandang oleh dua tokoh besar Revolusi Islam, iaitu Ruhollah Khomeini dan Ayatollah Ali Khamenei, merupakan tanggungjawab yang sangat berat serta hanya dapat dilaksanakan dengan bantuan Tuhan dan sokongan rakyat Iran.
Mojtaba Khamenei turut menyeru rakyat Iran supaya mengekalkan perpaduan nasional, meningkatkan kesedaran politik dan terus memainkan peranan aktif dalam pelbagai bidang demi mempertahankan negara.
Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan rakyat dalam perhimpunan Hari Quds Antarabangsa yang dijadual berlangsung pada 13 Mac 2026, sambil menegaskan bahawa semangat menewaskan musuh perlu menjadi fokus utama.
Selain itu, beliau memuji pasukan tentera Iran serta pejuang dalam paksi penentangan, termasuk Hezbollah, yang menurutnya terus menyokong perjuangan menentang Israel dan sekutunya.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran kepada beberapa negara serantau mengenai penggunaan pangkalan tentera asing di wilayah mereka, sambil menegaskan Iran boleh bertindak terhadap pangkalan yang digunakan untuk menyerang negara itu.
Pemimpin baharu Iran itu juga berjanji bahawa mangsa serangan, termasuk mereka yang cedera atau kehilangan harta benda, akan menerima rawatan perubatan percuma serta pampasan yang sewajarnya daripada kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa Iran akan menuntut ganti rugi daripada pihak musuh, dan jika tuntutan itu tidak dipenuhi, Tehran tidak teragak-agak untuk mengambil atau memusnahkan aset musuh dalam jumlah yang setara.


