Kurang sejam, dua maut dalam kemalangan berasingan di Kuala Lipis

DALAM tempoh kurang sejam, dua lelaki kehilangan nyawa dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di daerah Kuala Lipis, semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kilometer 95, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Merapoh, seorang warga emas, Safein Ab Rahman, 66, maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, bas yang membawa 15 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang, Selangor ketika kemalangan berlaku.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelum dilanggar bas berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya yang turut berada dalam kenderaan cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua pada jam 2.28 petang di Kilometer 18, Jalan Lipis–Jerantut berhampiran Kampung Lentang, seorang pemandu treler, Shahfik Fanzi Rosli, 41, dari Bukit Katil, Melaka turut maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Beliau berkata, treler dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori Isuzu.

“Sebuah kereta Honda Jazz yang berada di belakang lori berkenaan cuba mengelak kemalangan itu, namun turut terkena.

“Pemandu lori Isuzu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan, manakala pemandu Honda Jazz tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan serta menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img