Pengarah syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM4.2 juta

SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung baucar bayaran membabitkan kerja-kerja pembinaan minyak dan gas di luar negara berjumlah lebih RM4.2 juta kepada sebuah agensi berkaitan kerajaan.

Sohpian Ariffin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran syarikatnya, Hadid Engineering (M) Sdn Bhd, kepada pegawai kewangan di Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Nurul Kartini Abu Bakar.

Dokumen tuntutan itu didakwa mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja projek luar negara yang sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh syarikat berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Sohpian didakwa menyerahkan dokumen tuntutan berjumlah RM2,821,380.59 bertarikh 13 November 2018 di pejabat MTDC di Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 22 April 2019 melibatkan tuntutan berjumlah RM1,240,180.83.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Sohpian didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM223,672.17 pada 4 Februari 2020 di lokasi sama.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Selvam T Armugom menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Riza Makhzan Arifin yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh kini tidak bekerja, mempunyai empat anak, menghidap asma serta perlu membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Hakim Suzana membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img