SEORANG lelaki tempatan berusia 50 tahun ditemui mati dipercayai akibat ditikam di sebuah unit rumah kedai di daerah Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.20 petang selepas seorang lelaki tempatan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.
“Prosedur bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau balai polis berhampiran.


