JURUCAKAP Markas Komando Utama Khatam al-Anbiya Iran memberi amaran bahawa musuh Iran kini menggunakan taktik baharu dengan meniru dron buatan negara itu bagi melancarkan serangan di negara-negara serantau untuk memburukkan imej Tehran.
Dalam satu kenyataan, jurucakap markas itu, Ebrahim Zolfaqari berkata pihak musuh telah menyalin reka bentuk drone Shahed-136 dan melancarkan serangan terhadap sasaran tidak adil di negara-negara serantau menggunakan nama baharu “Lucas”.
Menurut beliau, tindakan itu bertujuan menuduh secara palsu Iran sebagai dalang serangan serta menimbulkan perpecahan antara Tehran dan negara-negara jiran.
Zolfaqari menegaskan bahawa doktrin pertahanan Iran berasaskan prinsip yang sah dan hanya mensasarkan kepentingan Amerika Syarikat serta rejim Zionis di Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ketenteraan.
“Iran sentiasa mengumumkan secara rasmi sasaran yang diserang dan bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut,” katanya.
Beliau turut mendakwa beberapa serangan “provokatif” terhadap pusat di negara jiran seperti Turki, Kuwait dan Iraq telah disalahkan kepada angkatan bersenjata Iran walaupun ia sebenarnya sebahagian daripada rancangan pihak musuh untuk menimbulkan ketegangan serantau.
Zolfaqari menggesa kerajaan dan rakyat negara-negara serantau supaya tidak terpedaya dengan taktik tersebut serta mengekalkan kerjasama dan kepercayaan antara satu sama lain bagi menggagalkan usaha mencetuskan perpecahan.
Kenyataan itu muncul ketika ketegangan meningkat selepas serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari.
Serangan tersebut dilaporkan melibatkan serangan udara meluas terhadap sasaran ketenteraan dan awam di seluruh Iran, menyebabkan korban jiwa serta kerosakan besar terhadap infrastruktur.
Sebagai tindak balas, angkatan bersenjata Iran melancarkan beberapa operasi balasan dengan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kedudukan Amerika Syarikat dan Israel di wilayah diduduki serta pangkalan mereka di rantau berkenaan.


