”Rakyat sedang menunggu untuk kita rampas kepimpinan PN dan bangkit mengangkat perjuangan PN. Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas dan hilang fokus.” -Wakil Dewan Pemuda Pas, Muhammad Faizuddin Mohd Zai
PERWAKILAN Pas di muktamar tahunan parti itu di Alor Setar menegaskan, Pas wajib menjadi ‘nakhoda’ dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kekuatan dan kestabilan parti.
Wakil Shah Alam, Mohamed Sukri Omar, kekuatan Pas terbukti melalui sejarahnya yang hampir 74 tahun, kedudukan sebagai parti terbesar di Parlimen, serta rekod cemerlang mentadbir empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Seluruh kemampuan pentadbiran empat buah negeri dengan 42 kerusi Parlimen membuktikan dengan jelas, sudah masanya kita bukan menjadi anak kapal, tetapi menjadi nahkoda paling utama untuk mengemudi politik dalam negara ini,” tegasnya ketika perbahasan menyokong Usul Perkasa PN.
Beliau berkata, Pas wajar memimpin PN kerana ia merupakan parti paling stabil dalam gabungan itu, yang dibuktikan melalui proses pemilihan dalaman parti yang berjalan lancar dan mengekalkan teraju utamanya.
“Kemampuan untuk mentadbir negara dinilai dengan kekuatan mentadbir parti sendiri.cKekuatan akar umbi PAS sebagai parti yang paling matang di tanah air ini sewajarnya menjadi hujah utama untuk kita mengemudi Perikatan Nasional,” katanya.
Mohamed Sukri juga memuji jiwa besar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang meletakkan had umur 70 tahun ke bawah bagi calon Perdana Menteri, walaupun ramai ahli melihat beliau sebagai calon paling layak.

Sementara itu Wakil Dewan Pemuda Pas, Muhammad Faizuddin Mohd Zai, menegaskan sudah tiba masanya parti menjadi peneraju utama gabungan tersebut, bukan lagi sekadar watak di sebalik tabir.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana PN dilihat tepu dan tiada hala tuju yang jelas.
“Kita telah bincangkan isu sosial, isu ekonomi dan kita bincang bagaimana nak selamatkan negara kita. Tetapi, jangan lupa ada satu perkara yang mesti kita selamatkan sebelum kita masuk ke PRU16.
“Rakyat sedang menunggu untuk kita rampas kepimpinan PN dan bangkit mengangkat perjuangan PN. Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas dan hilang fokus,” katanya.
Hujah beliau, kedudukan Pas sebagai parti tunggal terbesar (single largest party) di Parlimen dan kejayaan mentadbir beberapa buah negeri membuktikan kemampuan parti itu untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
“70 tahun kita dalam pentas politik, siapa sangka kita pada hari ini menjadi single largest party di dalam Parlimen.
“Sudah tiba masanya PAS ini bukan berada di sebalik tabir, bukan sekadar berada di tepi, tetapi kita memimpin Perikatan Nasional ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, Abdul Hadi telah memberi isyarat yang penting mengenai kriteria bakal Perdana Menteri.
‘’Tan Sri Tuan Guru Presiden Pas menyebutkan Perdana Menteri mesti berumur 70 tahun ke bawah. Ini bukan kata-kata biasa, ini isyarat besar, isyarat perdana, isyarat penting untuk kita semua faham bahawasanya Perdana Menteri itu mesti difikirkan oleh kita semua dan digalas oleh Pas,” katanya.


