KERAJAAN diminta supaya membuat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran ekonomi mendatang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gesaan itu berikutan ketika ini perang sedang meletus di Asia Barat, yang mana serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran mengheret konflik ke serata rantau Teluk hingga memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia.
Beliau berpendapat, sekiranya keadaan sedemikian berterusan, ekonomi Malaysia akan terjejas dalam konteks harga barang melambung dan inflasi meningkat sehingga akhirnya rakyat menjadi mangsa.
“Pada waktu inilah kita mengharapkan kepimpinan yang baik, yang mempunyai hala tuju jelas, matang dalam membuat keputusan dan tahu mencari jalan keluar untuk rakyat serta negara.
“Kita mahu kerajaan melakukan yang terbaik, membuat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran mendatang nanti,” katanya menerusi hantaran perutusan Hari Raya Aidilfitri beliau dan isteri di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu berpandangan bahawa dalam soal kepimpinan dan hala tuju negara, agenda ‘reset’ amat penting untuk dilaksanakan.
Menurutnya, ‘reset’ bukan soal kelangsungan politik mana-mana individu mahupun parti.
Sebaliknya kata beliau, ia merupakan perjuangan yang bersifat menyeluruh, inklusif dan berorientasikan masa depan negara.
“Lebih penting, ia selari dengan pendekatan maqasid syariah agar terbinanya ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur’ (sebuah negara yang baik, makmur serta mendapat keampunan dan keberkatan Allah SWT),” ujarnya.


