PELAKON aksi terkenal Hollywood, Chuck Norris dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun, menurut kenyataan keluarganya.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram, keluarga mendiang memaklumkan Norris menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis.
“Dengan hati yang berat, keluarga kami berkongsi pemergian mengejut insan tersayang kami, Chuck Norris, pagi semalam.
“Kepada dunia, beliau seorang artis seni bela diri, pelakon dan simbol kekuatan. Namun bagi kami, beliau adalah suami yang setia, bapa dan datuk yang penyayang, seorang abang yang luar biasa serta nadi keluarga kami,” menurut kenyataan itu.
Norris dikenali di seluruh dunia menerusi wataknya dalam siri televisyen popular Walker, Texas Ranger, selain membintangi pelbagai filem aksi yang melonjakkan namanya sebagai ikon genre berkenaan.
Sepanjang kerjayanya, beliau bukan sahaja dikenali sebagai pelakon, malah turut dihormati sebagai pengamal seni mempertahankan diri yang berpengaruh di Amerika Syarikat (AS).
Setakat ini, punca kematian tidak didedahkan oleh pihak keluarga.


