Anthony Loke arah Guan Eng-Chow henti perbalahan terbuka

PERBALAHAN berterusan antara bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkaitan isu cukai tanah negeri itu menimbulkan kebimbangan kepada  kepimpinan DAP.

Sehubungan itu, hari ini Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengarahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan penggantinya, Chow Kon Yeow menghentikan perbalahan terbuka berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, kepimpinan pusat DAP amat bimbang dengan perbalahan terbuka antara dua pemimpin itu yang disifatkannya “tidak sihat dan tidak sesuai” untuk menangani perbezaan dalaman berhubung dasar awam.

Beliau berkata, Guan Eng  selaku bekas Setiausaha Agung DAP dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang perlu memahami kepentingan mengekalkan disiplin parti.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perbezaan pendapat ADUN perlu disampaikan melalui mekanisme dalaman, bukannya dibahas secara terbuka.

“Perbezaan pendapat tidak patut disuarakan dengan cara yang menjejaskan ketua menteri kita sendiri dan kerajaan negeri.

“Pada masa sama, walaupun pendekatan Guan Eng sangat tidak wajar, Chow selaku Ketua Menteri perlu memberi perhatian serius terhadap kebimbangan dibangkitkannya kerana ia membabitkan kepentingan awam dan mencerminkan rungutan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Loke mengakui kerajaan Pulau Pinang perlu menyemak semula kadar cukai tanah di zon komersial, tetapi ia mesti dilakukan secara seimbang dan penuh pertimbangan.

“Perbalahan terbuka ini mesti dihentikan dan disiplin parti perlu ditegakkan sepanjang masa. Sebagai setiausaha agung DAP, saya akan mengadakan mesyuarat membabitkan kedua-dua pemimpin untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.”

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, semua pemimpin DAP perlu fokus berkhidmat kepada rakyat dan menggesa mereka mengelakkan perbalahan terbuka, sebaliknya menjalin kerjasama membina.

Sepanjang minggu lalu, Guan Eng dan Chow berbalah berhubung isu cukai tanah.

Chow dilaporkan berkata, beberapa pemilik tanah yang mengkritik kadar baharu itu pada  sidang akhbar bersama Guan Eng  tidak memberi butiran penting seperti saiz lot dan kegunaan sebenar tanah mereka untuk perniagaan atau perindustrian.

Beliau berkata,  beberapa kes yang dibangkitkan melibatkan tanah digunakan untuk menyimpan kayu balak, meletak kontena atau lori, dijadikan tapak menjual kereta terpakai atau menjalankan aktiviti berkaitan kilang.

Guan Eng membalas kenyatan itu dengan menggesa Chow meneliti sendiri aduan itu, bukannya bergantung kepada maklum balas pegawai tanah dan galian semata-mata. Chow membalasnya dengan berkata, beliau percaya kepada pegawai terlibat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img