MALAYSIA memerlukan pendekatan non-partisan yang mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan politik kepartian, termasuk keperluan untuk lebih inklusif dan berasaskan tindakan berdepan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesan geopolitik ini mula dirasai secara langsung melalui kenaikan harga bahan tenaga, gangguan rantaian bekalan dan tekanan terhadap ekonomi global.
‘’Ketidaktentuan ini telah meningkatkan kos logistik, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan operasi merentasi pelbagai sektor ekonomi,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kesan rantaian ini tidak dapat dielakkan dan dalam tempoh beberapa bulan mendatang.
‘’Negara berkemungkinan berdepan dengan kenaikan harga barang asas dan makanan. Peningkatan kos pengangkutan dan logistik, kenaikan kos utiliti dan perkhidmatan bahkan lebih besar lagi impaknya adalah risiko tekanan kepada sektor pekerjaan, termasuk kemungkinan pengurangan tenaga kerja dalam industri yang terjejas,’’ katanya.
Ahmad Samsuri berkata, tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik, perusahaan kecil dan sederhana yang amat terkesan susulan kenaikan kos bahan mentah.
Sehubungan itu beliau mencadangkan penglibatan semua pihak secara menyeluruh termasuk kerajaan, pembangkang, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil dalam satu forum seumpama Majlis Perundingan dan Intervensi, agar setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan negara secara kolektif.
‘’Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian,’’ katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, kita mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara dengan merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama.
‘’Apabila kestabilan ekonomi negara dan kebajikan rakyat menjadi taruhan, keutamaan kita semestinya kesejahteraan dan daya tahan Malaysia,’’ katanya.


