SEORANG anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala serta putus tangan kanan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dari arah Sungai Udang menghala ke Pengkalan Balak dipercayai cuba memotong kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibat tindakan itu, mangsa bertembung dengan sebuah motosikal jenis SYM VF3i dan kereta Proton Saga yang datang dari arah Pengkalan Balak menghala ke Sungai Udang,” katanya.
Beliau berkata, penunggang motosikal SYM VF3i yang berusia 18 tahun itu mengalami patah kaki dan tangan kanan serta kini dirawat di Hospital Melaka.
Pemandu Proton Saga iaitu wanita berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Loh Gia Xao melalui talian 019-5382353 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


