Kerajaan Negeri Melaka siasat tular pasangan LGBT sambut Aidilfitri

KERAJAAN Negeri Melaka  akan menjalankan siasatan segera berhubung satu hantaran tular di media sosial yang didakwa mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ketika sambutan Aidilfitri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya telah menerima maklumat berhubung perkara itu dan semakan lanjut sedang giat dilaksanakan, termasuk mengesahkan lokasi sebenar kejadian.

Beliau berkata hantaran yang dimuat naik melalui platform Threads itu didakwa berlaku di Kampung Batu Gajah, Merlimau, namun kesahihan maklumat berkenaan masih dalam penelitian.

“Siasatan akan dilakukan segera bagi memastikan kesahihan perkara itu termasuk lokasi kejadian sekiranya benar berlaku.

“Kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal, sebaliknya memberikan ruang kepada proses siasatan yang teliti dan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi media, di Melaka hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut melibatkan penelitian dari sudut perundangan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang serta tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak terlibat.

“Apa juga tindakan akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan seorang individu dipercayai lelaki berperwatakan wanita bergambar bersama seorang lelaki lain, dengan kedua-duanya mengenakan pakaian sedondon berwarna merah jambu.

Hantaran itu disertakan kapsyen “Jodoh Lebaran Dah Tiba. Alhamdulillah” serta meletakkan lokasi di Kampung Batu Gajah, Merlimau.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img