KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengingatkan pegawai dan kakitangan agensi itu untuk harus bersedia berdepan dengan pelbagai kritikan, persepsi negatif, malah fitnah.
Katanya, akan sentiasa ada pihak yang tidak selesa dengan ketegasan SPRM dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak kurang juga yang sanggup menyebarkan naratif palsu dan tidak berasas, walaupun mereka mengetahui hakikat yang sebenar.
‘’Namun, kita tidak boleh dan tidak akan terpesong daripada tanggungjawab kita. Kita perlu teguh dalam prinsip. Kekal fokus kepada misi. Biarkan kerja kita, integriti dan hasil pencapaian kita berbicara lebih kuat daripada sebarang tuduhan.
”Teruskan berkhidmat dengan penuh keikhlasan, disiplin yang tinggi, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.Integriti adalah asas kita. Disiplin kekuatan kita. Berkhidmat kepada rakyat amanah kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam peringatan melalui Facebook SPRM kepada semua kakitangan dan pegawai agensi penguat kuasa tersebut.
Azam berkata, Hari Raya Aidilfitri telah berlalu dan kini tibalah masanya untuk mereka kembali sepenuhnya kepada tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
‘’Ramadan yang baru kita lalui bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu proses membina disiplin, menguatkan kawalan diri, meneguhkan integriti, serta memperhalusi nilai-nilai murni. Inilah ukuran sebenar kejayaan kita. Justeru, marilah kita terus membawa semangat dan pengajaran Ramadan ke dalam setiap tindakan dan pelaksanaan tugas harian kita.
‘’Kini adalah waktu untuk kita bangkit dengan semangat baharu, tenaga yang segar dan fokus yang diperbaharui. Kita perlu terus mengamalkan gaya hidup yang sihat, berdisiplin dalam setiap aspek, serta menjauhi sikap berlebihan—sama ada dalam pemakanan, keselesaan, mahupun rasa leka,’’ katanya.
Beliau menegaskan, amanah yang dipikul jauh lebih besar daripada keseronokan sementara dan sebagai warga SPRM , mereka mesti terus menjunjung integriti yang tinggi dalam setiap tindakan.
‘’Tugas ini adalah satu amanah, dan rakyat menaruh harapan agar kita melaksanakannya dengan penuh kejujuran, keberanian, dan profesionalisme,’’ katanya.


