Malaysia perlu bersedia hadapi konflik berpanjangan, implikasi ekonomi – MKN

MALAYSIA harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada Malaysia, tetapi dunia secara keseluruhannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Malaysia akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini.

‘’Malaysia juga akan memainkan peranan proaktif untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik ini, ‘’ kata kenyataan itu yang turut memaklumkan MKN telah mengadakan sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menumpukan kepada konflik di Asia Barat tersebut.

Kenyataan itu berkata, Malaysia menyambut baik perkembangan mutakhir yang menyaksikan kesemua pihak terbabit untuk menghentikan serangan selama lima hari.

‘’Ruang ini harus digunakan untuk mengadakan rundingan secara serius dan ikhlas. Mesyuarat mengambil maklum bahawa perkembangan terbaharu ini telah menyebabkan penyusutan harga minyak antarabangsa,’’ kata MKN.

Kenyataan itu berkata, Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan ketua-ketua agensi keselamatan sedang berhubung rapat dengan rakan-rakan sejawat mereka.

‘’Malaysia mempunyai beberapa ciri penting untuk memainkan peranan ini. Sebagai contoh, kecuali Israel, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain utama dalam isu ini; pendirian konsisten, berkecuali an sikap berterus-terang juga membuat Malaysia dihormati,’’ kata MKN.

Sidang MKN Khas tersebut juga menurut kenyataan itu telah membincangkan isu-isu yang terkait termasuklah isu keselamatan seperti aktiviti agensi perisikan di Malaysia, pencegahan aktiviti penyeludupan bahan api dan juga keadaan pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan.

Kenyataan itu memaklumkan sidang khads semalam akan disusuli dengan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas hari ini yang juga akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img