PIHAK keselamatan Iran menahan seramai lima individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Israel, Mossad, dalam dua operasi berasingan di barat negara itu.
Dalam operasi pertama, tiga suspek diberkas oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di wilayah Kermanshah. Mereka dipercayai mempunyai hubungan langsung dengan rangkaian risikan asing, namun butiran lanjut mengenai aktiviti mereka tidak didedahkan.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi di Urmia, dua individu turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai upahan kepada rejim Zionis, lapor Tasnim News Agency
Mereka dipercayai terlibat dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat sensitif berkaitan kemudahan ketenteraan serta keselamatan kepada pihak asing.
Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan identiti kesemua suspek mahupun struktur rangkaian yang terlibat.
Penahanan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Iran untuk mengekang aktiviti risikan asing dan memperkukuh keselamatan dalam negara.
Bagaimanapun, tiada pengesahan bebas daripada sumber antarabangsa berhubung dakwaan serta butiran kes tersebut setakat ini.


