SEORANG peniaga wanita direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh di Kota Bharu semalam.
Wanita berusia 44 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana berkaitan kesalahan cuai yang membahayakan dengan api atau bahan mudah terbakar.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Difahamkan, seorang pekerjanya yang berusia 38 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum itu Ketua Polis Kota Bharu Mohd Azmir Damiri berkata, polis menahan pemilik dan penjaga gerai mercun dan bunga api yang terbakar di Wakaf Che Yeh bagi membantu siasatan.
Dua wanita masing-masing berusia 38 dan 44 tahun itu ditahan pada 8.30 malam tadi berhubung siasatan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan.
“Gerai itu dikendalikan pemilik kedai makan berusia 44 tahun yang memiliki permit sah untuk menjalankan perniagaan mercun dan bunga api di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Pemeriksaan pasukan forensik bomba mengesahkan kebakaran berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari premis ke lampu hiasan gerai dan siasatan masih diteruskan.”
Mohd Azmir berkata, kejadian berlaku pada 10.13 pagi semalam, melibatkan sebuah gerai menjual mercun dan bunga api di depan sebuah premis kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh.


