KERAJAAN akan melaksanakan segera beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di Asia Barat.
‘’Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Anwar berkata, kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.
‘’Situasi ini akan terus dipantau rapi, dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat. Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan,’’ katanya.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, Malaysia harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada negara ini, tetapi dunia secara keseluruhannya.
MKN memberitahu, kerajaan akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini.


