MENTERI Luar Iran, Seyed Abbas Araqchi, menegaskan bahawa Republik Islam itu akan terus berpegang kepada dasar penentangan terhadap sebarang bentuk pencerobohan, sambil menafikan wujudnya sebarang rundingan pada masa ini.
“Pada ketika ini, dasar kami adalah untuk meneruskan penentangan, dan tiada rundingan yang sedang berlangsung,” katanya dalam satu wawancara televisyen.
Beliau turut mengulangi bahawa tiada sebarang proses rundingan sedang berjalan, di samping mempersoalkan kebolehpercayaan jaminan antarabangsa.
Menurut laporan Press TV, walaupun terdapat hubungan diplomatik di peringkat serantau, pendirian Tehran kekal tidak berubah.
“Ramai menteri luar dari rantau ini telah menghubungi Tehran, namun pendirian Iran kekal berprinsip dan tegas,” katanya.
Araqchi menegaskan bahawa jaminan antarabangsa tidak boleh dipercayai sepenuhnya, sambil menekankan keupayaan Iran mewujudkan jaminan keselamatan sendiri melalui tindakan balas ketenteraan.
“Melalui jaminan dalaman yang kami wujudkan sendiri, tiada siapa akan berani lagi memulakan perang terhadap rakyat Iran,” katanya, merujuk kepada siri serangan balas Iran terhadap sasaran Amerika Syarikat dan Israel di rantau tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan hanya akan membawa kepada kitaran konflik berulang.
“Musuh mesti belajar satu pengajaran supaya tidak lagi terfikir untuk melancarkan serangan, dan kerosakan yang dialami rakyat Iran mesti diberi pampasan,” katanya.
Araqchi juga mendakwa kehadiran pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara rantau sebenarnya menjejaskan keselamatan negara tuan rumah.
“Perang ini mendedahkan bahawa pangkalan AS bukan sahaja gagal memberikan keselamatan, malah menjadi punca ketidakstabilan,” katanya.
Beliau merujuk kepada serangan balas Iran terhadap pangkalan AS di beberapa negara termasuk Qatar, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi dan Jordan.
“Jika negara-negara ini diserang, ia adalah kerana kehadiran pangkalan tersebut,” tambahnya.
Beliau turut menggesa negara-negara serantau supaya menjauhkan diri daripada apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran.
Mengulas perkembangan konflik, Araqchi menyifatkan tindakan balas Iran sebagai “detik keemasan” dalam sejarah negara itu.
Menurutnya, musuh gagal mencapai beberapa objektif utama termasuk memecah-belahkan Iran dan meraih kemenangan pantas.
“Fakta bahawa mereka kini bercakap mengenai rundingan adalah pengakuan kekalahan,” katanya, merujuk kepada perubahan pendirian pihak lawan yang sebelum ini menuntut penyerahan tanpa syarat.
Mengenai Selat Hormuz, beliau berkata laluan strategik itu masih dibuka kepada negara-negara sahabat.
“Iran membenarkan laluan kepada China, Rusia, India, Iraq dan Pakistan. Tiada sebab untuk kami membenarkan musuh menggunakan Selat Hormuz,’’ katanya.


