BERKUAT kuasa 1 April ini, kesalahan melanggar larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing akan turut mencakupi pemandu atau pemiliknya.
Menteri Perdagangan Negeri dan Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan ini adalah susulan daripada keputusan yang beliau bentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu.
‘’Bagi memastikan pematuhan peraturan ini seiring dengan peningkatan risiko ketirisan penyeludupan bahan api di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat, agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu),’’ katanya melalui Facebook.
Armizan berkata, hari ini beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.
‘’Peluasan ini adalah pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini kesalahan hanya diletakkan kepada pengusaha stesen minyak,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing mematuhi larangan itu.
‘’KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api. Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya.
Dalam masa yang sama, Armizan menyeru orang ramai untuk terus bersama-sama menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan dengan menyalurkan aduan dan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan jenayah penyeludupan bahan api subsidi.
‘’Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak sejajar agenda KITA GEMPUR, kita akan terus memastikan kepentingan rakyat dilindungi & ketirisan dibanteras demi manfaat bersama,’’ katanya.


