POLIS menemui 20.2kg ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta dalam guni di kawasan pantai Pasir Bogak dekat Pulau Pangkor, malam tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam satu kenyataan memberitahu, dadah itu ditemui pasukan daripada IPD Manjung dan Balai Polis Pangkor kira-kira 9 malam susulan maklumat awam.
“Pemeriksaan ke atas guni itu menemui 20 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis ketamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit aktiviti pengedaran dadah.
Orang ramai mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222.


