KERAJAAN akan memanggil menteri besar, premier dan ketua menteri minggu depan bagi membincangkan isu kesan ekonomi serta keselamatan negara susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, berkata beliau juga sedang merancang untuk memanggil pemimpin semua parti politik bagi menghadiri sesi taklimat khas.
Beliau menjelaskan, taklimat akan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan agensi berkaitan bagi memberi gambaran jelas mengenai situasi semasa dan langkah perlu diambil.
“Kita bincang dengan MB, KM, premier dan semua pemimpin parti dahulu. Soal sidang khas Parlimen itu biar ada rancangan untuk kita mengatasi (isu). Bila sudah ada rancangan, baru kita boleh bincang secara konkrit (di Parlimen),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Dalam satu kenyataan hari Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mohon kerajaan memanggil satu sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi konflik di Asia Barat terhadap ekonomi global dan kesan kepada negara.
Hamzah berkata, beliau mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi memohon pertimbangan supaya sidang khas dipanggil segera.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, sidang khas itu penting bagi membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan secara menyeluruh kesan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran termasuk impaknya terhadap ekonomi negara.
“Permintaan ini mencerminkan komitmen dan harapan kami di blok bembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa siap siaga mendepani cabaran ekonomi semasa. Tterutamanya dalam aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata Hamzah.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, permohonan itu dibuat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan sidang khas dipanggil bagi membincangkan isu penting negara
Hamzah berkata, Ahli Parlimen blok pembangkang menerima pelbagai persoalan serta reaksi daripada rakyat susulan pengumuman dibuat oleh Anwar, semalam.
Menurutnya, perkara dibangkitkan rakyat perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Perbincangan terbuka di Parlimen akan membantu memberi penjelasan kepada rakyat selain memastikan langkah kerajaan dapat diteliti secara menyeluruh oleh wakil rakyat,” katanya.
Dalam surat bertarikh 26 Mac kepada Anwar, Hamzah turut menyatakan kebimbangan konflik di Asia Barat berpotensi menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia dalam tempoh singkat.
Kata Hamzah, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran tenaga global, malah boleh menjejaskan kedudukan fiskal negara serta keupayaan kerajaan menyalurkan subsidi dan bantuan kepada rakyat.
Sementara itu Anwar menegaskan Malaysia menyokong usaha damai membabitkan Iran susulan konflik di Asia Barat yang memerlukan penyelesaian adil untuk semua pihak.
Kata Perdana Menteri, perbincangan telah diadakan dengan presiden Iran yang turut menyuarakan komitmen meneruskan langkah ke arah perdamaian, tetapi Malaysia berpegang kepada prinsip punca keganasan perlu diakui, termasuk serangan awal yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, konflik itu bukan sahaja memberi kesan kepada rantau terbabit, tetapi turut memberi tempias kepada negara lain, termasuk Malaysia.
Setakat ini, katanya, keadaan di Malaysia masih terkawal tanpa sebarang kenaikan mendadak harga minyak serta barangan, dengan hasil minyak negara dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei nanti.


