‘’Tidak perlu kita bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah.’’ – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu terus mara dengan memperkukuh perjuangan dan strategi dan tidak perlu membuang masa melayan tohmahan musuh atau “spin” yang sengaja diperbesarkan.
Katanya, isu calon Perdana Menteri hanya relevan sekiranya PN mencapai kemenangan besar dan layak menerajui kerajaan Persekutuan.
‘’Tidak perlu kita bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah,’’ katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, dengan kemenangan 73 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat negeri, perjalanan PN masih panjang.
‘’Walaupun bayangan Putrajaya sudah kelihatan, ia masih belum jelas. Seperti kata pepatah, “Ternak dahulu kambing, kemudian barulah berbincang tentang pembahagian untung,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, kini Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP perlu terus bekerja sebagai satu pasukan bukan menoleh ke belakang atau berbangga dengan pencapaian lalu.
‘’Musuh sudah tentu sedang merancang strategi, dan dengan kedudukan mereka sebagai kerajaan pusat, segala dana serta kemudahan akan digunakan sebaik mungkin untuk mempertahankan kuasa.
‘’Ketepikan perkara yang tidak menguntungkan perjuangan. Jika benar kita mahukan kejayaan, mari kita perkukuh muafakat dalam menghadapi PRN Sabah sebagai ujian pertama sebelum meneruskan bahtera menuju Putrajaya. Mari kita “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” demi masa depan negara yang lebih baik,’’ katanya.
Tuan Ibrahim berkata, berakhirnya Muktamar PAS ke-71 merumuskan satu gagasan bagi mengukuhkan perjuangan Pas dan PN.
‘’Muktamar kali ini memberi tumpuan khusus kepada usaha PAS meyakinkan rakyat, khususnya masyarakat bukan Islam, bahawa mereka tidak perlu berasa takut atau bimbang terhadap PAS dan PN sekiranya kami diberi mandat dalam PRU-16,’’ katanya.
Beliau berkata, sudah menjadi lumrah, akan ada usik-mengusik dalam perbahasan perwakilan.
‘’Kadangkala teguran diberikan secara tegas, dan kebanyakannya dengan cara yang halus dan lembut. Semua itu adalah tanda kasih sayang dalam jemaah dan perjuangan. Teguran yang benar wajar dijadikan pedoman, manakala teguran yang kurang tepat pula dijadikan peringatan,’’ katanya.


