SEORANG lelaki berusia 54 tahun ditahan polis selepas dipercayai menunjukkan kemaluan kepada dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah rumah di kawasan berkenaan yang memaparkan sebuah kereta hitam berhenti berhampiran dua mangsa yang sedang berjalan kaki.
Beberapa saat kemudian, pemandu kenderaan itu dilihat memanggil mangsa sebelum salah seorang daripada mereka menghampiri kereta berkenaan. Namun, kedua-dua kanak-kanak itu segera melarikan diri selepas menyedari sesuatu yang mencurigakan.
Pemandu terbabit kemudian mengundurkan kenderaan dan beredar dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 11 malam hari sama di sebuah rumah di Masai susulan laporan yang dibuat bapa salah seorang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 12 dan 10 tahun.
“Seorang lelaki berusia 33 tahun mendakwa anak perempuan dan anak saudaranya dihampiri suspek yang memandu sebuah Honda Accord berwarna hitam.
“Suspek bertanyakan arah ke tandas sebelum bertindak menunjukkan kemaluan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


