SEORANG anggota tentera kini berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dipukul di kem, dengan doktor mengesahkan berlaku kematian tisu otak akibat kekurangan oksigen.
Mangsa, Muhammad Amirul Raziq, 24, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kekurangan oksigen ke otak sehingga berlaku kematian tisu.
Bapanya, Rosafindi Tambi Chik, 49, berkata dia dimaklumkan oleh pegawai pemerintah bahawa anaknya pengsan sebelum dibawa ke Hospital Bentong dalam keadaan kritikal.
Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 10.41 malam sebelum bergegas dari rumahnya di Gemas ke hospital dan tiba sekitar jam 2 pagi.
“Saya dimaklumkan keadaan anak tidak mengizinkan kerana jantungnya sudah berhenti. Doktor melakukan CPR hampir sejam sebelum jantungnya kembali berdenyut,” katanya ketika ditemui di Hospital Temerloh, hari ini.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Temerloh kira-kira jam 5 pagi bagi mendapatkan rawatan lanjut serta pemantauan pakar.
Rosafindi berkata, doktor memaklumkan jantung anaknya berhenti terlalu lama sehingga menyebabkan otak gagal menerima oksigen dan berlaku kematian tisu.
Tambahnya, hasil imbasan CT tidak menunjukkan kecederaan dalaman, namun jantung mangsa membengkak dipercayai akibat prosedur CPR yang dilakukan dalam tempoh panjang.
Mangsa kini berada dalam keadaan ditidurkan.
Dalam masa sama, Rosafindi mendakwa anaknya dipukul sebelum kejadian, namun tidak dimaklumkan individu yang terlibat.
Beliau difahamkan seorang suspek berpangkat koperal telah ditahan polis dan dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong bagi permohonan reman.
Menurutnya, sepanjang 26 tahun berkhidmat sebagai anggota komando, latihan ketenteraan tidak pernah mengajar anggota mencederakan rakan sendiri.
“Kalau ikut prosedur, latihan hanya menguji mental dan ketahanan. Bukan pukul sepak sampai jadi begini.
“Saya harap keadilan ditegakkan kerana saya menjaga anak saya hampir 24 tahun. Sekarang dia kritikal dan kami sekeluarga amat sedih,” katanya.
Rosafindi berkata, anaknya yang sudah tiga tahun berkhidmat dalam tentera sebelum ini tidak pernah mempunyai masalah serius, namun pernah menyatakan keletihan ketika menjalani latihan.
Beliau percaya kejadian itu bukan prosedur tentera sebaliknya kemungkinan melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh individu tertentu.
“Saya melihat ini lebih kepada perbuatan buli dan dilakukan dengan sengaja,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang anggota tentera cedera parah dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan diterima pada jam 8.45 pagi kelmarin.


