Reman tiga suspek akaun ‘Ratu Balqis’ disambung

TEMPOH tahanan reman tiga individu yang dikaitkan dengan akaun TikTok ‘Ratu Nur Puteri Ratu Balqis’ dijangka disambung tiga hingga empat hari lagi bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tempoh reman dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu yang berakhir esok akan dilanjutkan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Lelaki terbabit adalah abang kepada wanita dewasa manakala remaja perempuan pula anak kepada wanita itu. Remaja terbabit sudah tidak lagi bersekolah dan tidak bekerja.

“Setakat ini kita menerima dua hingga tiga laporan polis di Johor berhubung kes ini, namun mereka didapati tidak mempunyai pengikut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada suspek mempunyai masalah kesihatan mental.

“Kita masih tidak dapat mengesahkan status mental mereka dan bergantung kepada keputusan mahkamah sama ada perlu dirujuk ke jabatan psikiatri hospital,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung kandungan yang dikaitkan dengan ajaran menyimpang.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan suspek lelaki merupakan seorang noja di sebuah masjid.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan seorang wanita yang mendakwa dirinya mempunyai kaitan dengan entiti tertentu termasuk membuat kenyataan yang didapati bertentangan dengan ajaran Islam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img