Zionis bunuh 70,300 orang di Gaza, 47,019 wanita jadi balu, 57,000 kanak-kanak kini anak yatim

SERANGAN berterusan Israel di Gaza telah mengakibatkan kesan kemanusiaan yang amat dahsyat terhadap rakyat Palestin, dengan puluhan ribu wanita kini kehilangan suami.

Statistik rasmi terbaharu menunjukkan seramai 47,019 wanita di Gaza menjadi balu, dengan 26,370 daripadanya kehilangan suami dalam konflik terkini.

Majoriti balu berada dalam lingkungan umur 19 hingga 50 tahun, merangkumi 84.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala wanita berusia lebih 60 tahun membentuk 14.9 peratus.

Dari segi lokasi, golongan balu ini tertumpu di beberapa wilayah utama Gaza, dengan 27.8 peratus berada di Gaza City, diikuti 22.5 peratus di kawasan utara, 13.2 peratus di wilayah tengah, 18.3 peratus di Khan Yunis, dan 8.2 peratus di Rafah, lapor Quds News Agency.

Kementerian Pembangunan Sosial Palestin memaklumkan bahawa keperluan mendesak kini meliputi sokongan psikososial, pemulihan pendidikan, perlindungan undang-undang, penjagaan kanak-kanak, pemerkasaan ekonomi, perkhidmatan kesihatan, bantuan tunai serta latihan kemahiran. 

Program bantuan turut merangkumi latihan pekerjaan intensif, projek kecil berasaskan rumah, bantuan bakul makanan bulanan dan aktiviti rekreasi. Selain itu, pusat khas untuk pendidikan dan perlindungan balu sedang dibangunkan.

Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan, Kementerian Kesihatan Palestin, , Zaher Al-Wahidi, menggambarkan skala kehilangan nyawa yang amat besar. 

Menurut beliau, konflik tersebut telah mengorbankan 70,300 rakyat Palestin dan mencederakan 171,000 yang lain.

Daripada jumlah korban, 20,000 adalah kanak-kanak, 10,000 wanita dan 5,000 warga emas. Selain itu, lebih 57,000 kanak-kanak menjadi yatim, termasuk 49,000 yang kehilangan bapa, 5,000 kehilangan ibu dan 3,000 kehilangan kedua-dua ibu bapa.

Konflik itu juga menyaksikan kemusnahan keseluruhan 2,600 keluarga, manakala 5,000 keluarga kehilangan hampir semua ahli, dan 6,000 keluarga kehilangan sebahagian anggota mereka.

Al-Wahidi turut mendedahkan bahawa lebih 1,000 bayi berusia bawah satu tahun terkorban, manakala 450 bayi yang dilahirkan ketika serangan tidak dapat diselamatkan. Kemusnahan infrastruktur pula telah menyebabkan kekurangan makanan, penularan penyakit dan keadaan semakin meruncing di kem pelarian.

Angka-angka ini menggambarkan krisis kemanusiaan yang serius di Gaza, dengan organisasi bantuan dan pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa tindakan segera amat diperlukan bagi membantu golongan balu, anak yatim dan komuniti paling terjejas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img