‘’Tanya dia duit bagi kat sapa, di Kedah semua kami tanggung sendiri’’ – Sanusi

KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, di Kedah  khususnya, parti itu membiayai sendiri segala kos kempen pilihan raya menggunakan kutipan derma unit peti undi serta sumbangan ahli.

Sehubungan itu beliau meminta bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad memperincikan pihak mana yang sebenarnya menerima dana yang didakwa disalurkan Bersatu kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tanya dia, duit itu bagi dekat siapa? Saya pun nak tahu juga. Di Kedah, semua perbelanjaan kami tanggung sendiri. Malah peralatan dan perkakas calon Bersatu pun Pas Kedah dahulukan bayarannya, cuma seorang calon sahaja yang bayar balik,” katanya lapor Sinar Harian.

Selain itu Sanusi turut mempertahankan kos perbelanjaan pilihan raya RM1 juta untuk satu Parlimen yang dianggap  sesetengah pihak  terlalu tinggi dan membazir.

“Cuba tanya kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) berapa kos mereka. Kalau BN perlu habiskan RM5 juta untuk satu parlimen, itu pun tak menang,” katanya.

Isu berhubung sumbangan Bersatu kepada Pas mula tercetus apabila Dr.Marzuki cuba membalas kembali kenyataan Sanusi bahawa Pas terpaksa membiayai sendiri peralatan pilihan raya, malah mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) untuk parti rakan dalam PN.

“Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada, jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua,” katanya.

Melalui catatan dalam Facebook beliau, Dr. Marzuki mendakwa semua kos pilihan raya PN ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu, termasuk sumbangan kewangan kepada Pas.

Dr.Marzui turut mendakwa  semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan oleh Bersatu, sekali gus ia membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen dan merupakan pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah politiknya.

Sanusi bagaimanapun membidas kenyataan itu dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang melucukan.

“Kenyataan itu sangat lawak, tanya dia bagi pada siapa duit itu?” katanya lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img