Waktu Pertanyaan Perdana Menteri letak kerajaan di bawah pengawasan ketat – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata,  pengenalan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) telah meletakkan kerajaan di bawah pengawasan lebih ketat kerana beliau perlu memberikan jawapan secara langsung berhubung isu penting setiap minggu.

‘’ Pada awalnya saya sendiri tidak pasti sama ada membuat keputusan yang tepat tetapi kini saya terikat dengannya setiap minggu… namun, setelah menilainya secara peribadi, saya harus katakan bahawa ia adalah satu wacana yang sihat.

“Ia membuatkan Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa berhati-hati dan inilah yang memberikan makna sebenar kepada apa yang kita panggil sebagai akauntabiliti demokrasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ketika mengulangi erti sebenar demokrasi, Anwar  berkata ia bukan sekadar membabitkan pilihan raya yang diadakan setiap empat atau lima tahun.

Sebaliknya, beliau berkata demokrasi adalah proses berterusan yang menyaksikan parti pemerintah perlu bersikap terbuka untuk dipersoal, dikritik dan dinilai oleh rakyat serta bertanggungjawab bagi segala komitmen yang telah dibuat.

Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen bahawa akauntabiliti adalah terpakai kepada semua dan wakil rakyat yang dipilih harus berkhidmat demi kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

“Hormatilah sumpah jawatan anda dan semangat akauntabiliti serta hak rakyat untuk bertanya… sememangnya, dalam era yang dikawal dan dipengaruhi media sosial ini, ada ketikanya rakyat boleh dikelirukan.

“Namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi menunaikan amanah dan sumpah jawatan yang telah kita ikrarkan,” katanya.

Anwar turut mengakui peranan Speaker dalam mengekalkan ketertiban di kedua-dua Dewan dan berkata sebagai Perdana Menteri, beliau tetap terikat dengan keputusan mereka.

Beliau berkata peranan utama Parlimen ialah untuk mencerminkan dan melindungi aspirasi rakyat kerana kuasa yang tidak dikawal dengan baik boleh membawa kepada berlakunya gejala rasuah.

“Kuasa sering kali membawa kepada kerosakan, dan kuasa yang mutlak pula pasti membawa kepada kerosakan sepenuhnya, ini bermakna kita harus berhati-hati dan meminta mereka yang berkuasa agar lebih bertanggungjawab berbanding yang lain,” katanya.

Menyentuh mengenai AIPA, Perdana Menteri berkata forum itu mencerminkan inti pati akauntabiliti demokrasi dengan menggalakkan wacana berasas dalam perhimpunan di peringkat nasional dan tempatan.

Beliau berkata ini termasuk memperkasa Speaker yang kompeten, menggalakkan pertukaran pendapat yang sihat menerusi perbahasan dan jawatankuasa serta memastikan bahawa Parlimen terus fokus kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Ahli-Ahli Parlimen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img