JPV tahan lelaki dera, campak anak kucing ke dinding kedai dobi

TINDAKAN kejam seorang lelaki menyiksa haiwan mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor selepas rakaman video tindakannya mendera seekor anak kucing di sebuah kedai dobi layan diri di Kajang tular dalam media sosial.

Berdasarkan rakaman video itu, lelaki terbabit dilihat mencampakkan anak kucing ke arah dinding dan ke atas tilam berulang kali dengan kejadian dikatakan berlaku di sekitar daerah Kajang.

Rakaman berdurasi 59 saat itu tular dalam media sosial sejak semalam.

JPV Selangor berkata, bertindak atas maklumat dan aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH) ke lokasi kejadian pada jam 11 pagi ini untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seekor anak kucing dipercayai haiwan sama dalam video berkenaan berada di lokasi kejadian.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit turut berada di lokasi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPV Selangor, siasatan mendapati kejadian berlaku antara jam 3.40 pagi hingga 3.50 pagi semalam dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah.

JPV Selangor memaklumkan, pihaknya turut menyita seekor anak kucing, satu unit telefon bimbit dan seutas tasbih dipercayai milik suspek bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img