DUA bot bertembung di muara Kuala Sungai Mangkok, Bandar Permaisuri, Setiu hari ini menyebabkan seorang nelayan maut.
Ketua Polis Setiu Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa Mohd Adli Zakaria, 53, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas tercampak ke bahagian belakang bot.
Katanya, kejadian berlaku pada 6.15 pagi apabila bot gentian kaca dipandu seorang nelayan berusia 55 tahun bertembung dengan sebuah lagi bot dipandu seorang nelayan berusia 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya dari jeti Kampung Baru Penarik keluar untuk memukat udang di laut perairan Setiu sebelum bot mereka berlanggar dengan bot dari laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zain berkata kemalangan menyebabkan bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan dan pecah pada bahagian hadapan.
Beliau berkata mangsa dibawa pulang ke jeti dengan menaiki bot itu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.


