SEORANG suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini atas pertuduhan menipu penjualan emas tidak wujud yang melibatkan kerugian berjumlah RM173,500 pada 2024.
Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Rashadah Abdul Majid, 55, dengan memperdaya mangsa untuk memasukkan wang berjumlah keseluruhan RM173,500 ke dalam akaun bank tertuduh secara berperingkat bagi tujuan tempahan barang kemas yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara tarikh 2 Jun 2024 hingga 16 Ogos 2024 di Kampung Mani, Mukim Belimbing Kanan, Padang Terap.
Berikutan itu, Siti Hajartul Haini didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak.


