‘’Ingat senang nak pujuk Presiden Iran..berilah sedikit kredit..’’ – Anwar tegur pembangkang

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan kerajaan termasuk pendirian membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran telah membantu memperkukuh hubungan diplomatik negara, sekali gus membolehkan kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz.

Katanya, ia bukanlah mudah untuk memujuk Presiden Iran Masoud Pezeshkian bagi tujuan tersebut.

“Ingat senang nak pujuk Presiden Iran untuk kapal kita lalui Selat Hormuz? Saya tidak katakan kerajaan dulu tidak baik dengan Iran, tetapi tidak sepertimana yang kita ada sekarang. Kita boleh telefon berulang kali, kita boleh usulkan di Parlimen bantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Cuba tengok berapa negara di dunia buat kenyataan setegas Malaysia lakukan dalam soal perang Iran, berilah sedikit kredit, ini pembangkang tak beri kredit, jadi ingat senang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen PKR di Johor Bharu yang turut dihadiri Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri berkata beliau kecewa apabila pembangkang seolah-olah tidak menghargai usahanya selama ini, malah pada masa sama sering memainkan isu pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, termasuk di dalam kenderaan rasmi presiden “The Beast”.

“Betul, saya runding, tetapi saya tidak mengorbankan kepentingan negara ini, saya berunding di dalam The Beast itu dengan Donald Trump, saya tidak apologetik,” kata beliau.

Anwar berkata, sebaliknya, beliau sempat memberitahu Trump bahawa ada bertemu dengan pemimpin Hamas bagi menekankan penderitaan rakyat Palestin, termasuk anak-anak yang terkorban akibat serangan berterusan, serta tanah mereka yang dirampas.

“Saya cakap semua ini beritahu Presiden Donald Trump, saya buat kerana saya datang daripada semangat reformasi keadilan. Kita ada ramai pemimpin yang cakap hebat, tetapi ada yang berani berdepan begitu?” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beliau turut menyampaikan mesej serupa kepada Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, Joe Biden, termasuk mengkritik perkara yang disifatkan sebagai sikap hipokrasi Barat serta penindasan berterusan dan penjajahan di Gaza.

Anwar berkata, tindakan itu sekali gus mencerminkan dasar dan prinsip reformasi yang dipegang oleh negara sehingga Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang berani menyuarakan pendirian tegas dalam isu geopolitik dunia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img