Penolong pengurus dipenjara sebulan, denda RM10,000 curi 9 tan buah sawit

SEORANG penolong pengurus ladang dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sembilan tan buah sawit pada Februari lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali turut memerintahkan R Nageswaran, 28, dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.

Tertuduh sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai penolong pengurus sebuah ladang sawit di Gemas, Tampin didakwa mencuri sejumlah 9,370 kilogram buah sawit dalam milikan majikannya kira-kira jam 5.30 petang pada 12 Februari lalu.

Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil, Nageswaran yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfazrin Jamal, mengaku bersalah dan merayu hukuman penjara serta denda minimum.

Norfazrin memberi alasan anak guamnya yang sudah dibuang kerja selepas kejadian itu dan kini tiada pendapatan, menanggung ibu bapa yang uzur dan kesal atas perbuatannya, namun Timbalan Pendakwa Raya Fidha Misjedi memohon hukuman setimpal kerugian dianggarkan lebih RM7,000.

Majistret Mohamad Redza kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 ke atas tertuduh.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img