Hubungan baik Malaysia faktor kapal negara diberi kelonggaran lepasi Selat Hormuz – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberitahu, hubungan baik yang dibina atas dasar kepercayaan dengan negara Asia Barat termasuk Iran membolehkan Malaysia dapat menyelesaikan isu melalui perbincangan, termasuk laluan kapal di Selat Hormuz.

Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini telah berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pemimpin negara berkenaan sebagai sahabat yang dipercayai, selain turut menyampaikan kebimbangan negara Teluk lain akibat kesan konflik Asia Barat.

Menurut beliau, selepas beberapa kapal komersial milik Malaysia dilaporkan terkandas di Selat Hormuz susulan tindakan Iran menyekat pergerakan di selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, beliau terus menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

“Dalam perbualan saya dengan Presiden Iran, saya memaklumkan beberapa kapal utama kita tersekat dan ini akan menimbulkan kesukaran. Beliau (Masoud) segera memberi arahan supaya perkara itu ditangani dan jaminan tindakan akan diambil segera.

“Sekali lagi, ini hanya boleh berlaku dengan tahap kepercayaan seperti ini, namun bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini… sudah tentu ini perlu diputuskan oleh komuniti antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya juga memahami pendirian Iran dan sebab itu kita tidak menyokong sepenuhnya gesaan untuk membuka laluan tanpa mengambil kira isu di Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di ibu negara hari ini.

Kementerian Luar pagi ini mengesahkan sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat diberikan laluan selamat dan kini menuju ke destinasi terakhirnya.

Menurut kementerian itu, hasil positif tersebut adalah susulan pembabitan diplomatik peringkat tinggi, termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri dan Masoud pada 26 Mac lalu serta antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau memahami kebimbangan disuarakan negara lain termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi susulan tindakan Iran yang meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada negara jiran, namun situasi Iran juga perlu diambil kira, yang diserang dengan teruk termasuk membabitkan kanak-kanak sekolah dan kemudahan awam.

“Saya tidak boleh mengabaikannya dan sebab itu saya nyatakan Malaysia mengambil pendirian tegas mengecam tindakan agresif Israel dengan sokongan AS. Pendirian kita jelas dan tegas, walaupun berisiko sebagai negara kecil.

“Pada masa sama, saya turut menyampaikan kebimbangan rakan di Teluk. Ada yang mempersoalkan kenapa saya berhubung dengan Iran dan saya katakan, sekurang-kurangnya saya mewakili kebimbangan mereka.

“Kita tidak boleh bersikap hipokrit dengan hanya melihat satu sisi saja. Kita mengambil pendirian yang konsisten dan menyeluruh,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img