Gencatan senjata AS-Iran diharap turut merangkumi keamanan di Iraq, Lubnan dan Yaman – PM

MALAYSIA berpandangan bahawa pelan gencatan senjata 10 perkara antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran wajar diperluaskan menjadi satu perjanjian damai menyeluruh yang merangkumi rantau Asia Barat termasuk Iraq, Lubnan dan Yaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia bersedia menyokong serta melengkapkan segala inisiatif ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan melalui pelan tersebut.

Menurut beliau, cadangan perjanjian damai berasaskan 10 perkara itu merupakan perkembangan positif dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di Asia Barat, malah di peringkat global.

“Saya menyambut baik perkembangan terkini dalam konflik antara AS dan Iran, khususnya berkaitan pelan 10 perkara yang dicadangkan Iran dan diterima secara positif oleh AS.

“Rundingan damai tidak akan berhasil sekiranya proses tersebut dicemari unsur penipuan serta kepura-puraan.

“Justeru, amat penting pelan ini diterjemahkan kepada perjanjian damai yang komprehensif, bukan hanya untuk Iran, tetapi turut melibatkan Iraq, Lubnan dan Yaman,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, keputusan itu dibuat selepas perbualan Trump dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta Panglima Tentera Darat negara itu, Asim Munir, dengan syarat Iran membuka semula Selat Hormuz secara penuh, segera dan selamat.

Pelan gencatan senjata berkenaan merangkumi jaminan Iran tidak akan diserang lagi, penamatan konflik secara kekal, penghentian serangan Israel di Lubnan serta penarikan semua sekatan AS terhadap Iran.

Selain itu, ia turut melibatkan penamatan konflik serantau ke atas sekutu Iran. Sebagai timbal balas, Iran akan membuka Selat Hormuz dan mengenakan bayaran sebanyak AS$2 juta bagi setiap kapal yang melaluinya.

Perkara lain termasuk perkongsian hasil bayaran itu dengan Oman, penetapan peraturan laluan selamat di Selat Hormuz serta penggunaan hasil tersebut bagi tujuan pembinaan semula, bukan sebagai pampasan.

Dalam masa sama, Anwar turut menggesa komuniti antarabangsa memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan kepada orang awam yang terjejas akibat konflik berkenaan.

Beliau juga menegaskan kepentingan menghentikan genosid serta penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

“Semoga ini menjadi permulaan kepada keamanan yang berkekalan. Dunia tidak lagi mampu berdepan sebarang kemungkinan selain daripada kedamaian,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Shehbaz dan Pakistan atas usaha diplomatik yang berterusan dan berani dalam membantu mencapai perkembangan tersebut.

“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pakistan serta Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, atas diplomasi yang gigih dan berani.

“Kesediaan Pakistan berunding dengan semua pihak tanpa rasa gentar atau berat sebelah mencerminkan semangat solidariti umat Islam serta tanggungjawab di peringkat antarabangsa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img