MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif seorang menteri rejim Zionis Israel yang menceroboh masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menegaskan, perbuatan tersebut yang dilakukan ketika kawasan masjid ditutup kepada jemaah Islam merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta penghinaan terhadap kesucian tapak suci umat Islam.
Menurut kenyataan itu, tindakan melulu berkenaan bukan sahaja mencabul hak kebebasan beragama umat Islam di seluruh dunia, malah berpotensi menggugat keamanan dan kestabilan serantau.
“Malaysia menegaskan bahawa perlindungan serta penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak-tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi di bawah undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa agar mengecam keras tindakan Israel serta mendesak rejim berkenaan menghentikan segera segala bentuk tindakan agresif.
Kenyataan itu turut menekankan keperluan langkah konkrit diambil bagi mengelakkan pelanggaran berterusan, selain memastikan tapak-tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut agama.
Dalam pada itu, Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti teguhnya terhadap rakyat Palestin serta komitmen berterusan dalam mempertahankan warisan agama, budaya dan kedaulatan mereka.
Malaysia turut mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


