
TINDAKAN Britain, Australia, Kanada dan Portugal pada Ahad mengiktiraf Negara Palestin ternyata menimbulkan kemaraan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Nentayahu.
Tanpa pedulikan pengiktirafan yang diisytiharkan oleh 150 buah negara setakat ini, Netanyahu yang dianggap oleh penduduk Arab sebagai ‘dajal jelmaan’ dengan angkuh berikrar bahawa negara Palestin tidak akan pernah wujud.
Netanyahu mengecam usaha pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang “tidak masuk akal” dan mendakwa ia akan “mengancam” kewujudan Israel.
“Ia tidak akan berlaku. Tiada negara Palestin akan diwujudkan di sebelah barat Sungai Jordan,” kata Netanyahu dalam kenyataan malam tadi.
Beliau kemudiannya berikrar untuk memperluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat, yang telah dikawal oleh Israel sejak tahun 1967, dalam satu pendudukan yang dianggap tidak sah menurut undang-undang antarabangsa.
Sementara beberapa negara lain, termasuk Perancis, dijangka turut mengiktiraf Palestin pada sesi pembukaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari ini, Israel yang merupakan ‘negara angkat kesayangan’ Amerika Syarikat (AS) tidak akan mempedulikannya.
Ia kerana Netanyahu tahu Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio pastinya akan menyebelahi Israel dan rejim Zionis yang kini sedang mengubah bandar raya Gaza menjadi ‘padang jarak padang terkukur’ dan ‘kubur panjang untuk rakyat Palestin’.

Setakat 21 September, mengikut statistik Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 65,283 orang dibunuh Israel termasuk19,424 kanak-kanak, seramai 166,575 orang cedera manakala hampir 191,000 bangunan, rosak atau musnah
Pendirian AS menjadi pelindungan kepada ‘dajal jelmaan’ itu terbukti apabila pada 5 September lalu Rubio memberi amaran bahawa pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin akan ganggu usaha damai dan berisiko cetus keganasan baharu.
Rubio yang melawat Israel pada 15 September lalu menegaskan, Washington telah memberitahu sekutunya bahawa langkah pengiktirafan secara unilateral adalah “palsu” dan “tidak realistik”, serta berpotensi mencetuskan tindak balas yang memburukkan keadaan

Rubio juga dengan angkuh memberi amaran bahawa ‘’jika anda lakukan pengiktirafan ini, anda akan mencipta masalah.’’
Kelmarin AS yang dianggap ‘bersekongkol’ dengan Netanyahu untuk membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin dan menghancurkan Gaza mengumumkan bahawa pentadbiran Donald Trump sedang berusaha mendapatkan kelulusan Kongres untuk menjual senjata dan peralatan ketenteraan bernilai AS$6.4 bilion (RM27 bilion) kepada Israel termasuk helikopter penyerang dan kenderaan pengangkut tentera.
Trajisnya pengumuman AS itu dibuat beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung PBB yang sekaligus dilihat sebagai isyarat betapa ‘sayangnya’ mereka kepada Israel biarpun satu dunia membenci rejim Zionis tersebut.
Atas sebab itulah penulis sentiasa yakin bahawa apapun usaha untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan Gaza tidak akan ke mana selagi AS terus menjadi pembela kepada Israel dan meneruskan hubungan akrab dengan Netanyahu @ ‘dajal jelmaan’.
Oleh itu jika ada mana-mana pemimpin di dunia yang merasakan AS boleh membantu menamatkan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin serta percaya Trump boleh memainkan peranan mengawal Netanyahu, ia sebenarnya impian yang tidak berpijak di bumi nyata.
Selagi ada bulan dan bintang, selagi bangsa Palestin masih wujud, percayalah AS dan Israel sama sekali tidak akan menghentikan kesepakatan mereka. Masing-masing ada peranannya untuk melenyapkan Palestin.
Israel melakukan gerakan ketenteraan untuk menyerang Palestin dengan senjata yang ‘dibekalkan’ oleh AS, bunuhlah berapa ratus ribupun rakyat Palestin, hancurlah Gaza sehancur-hancurnya, tiada siapa pun boleh mengambil tindakan ke atas Israel.
Ia kerana AS akan memainkan peranannya mempertahankan dan melindungi Israel. Netanyahu yang diiktiraf sebagai penjenayah perang sudah beberapa kali dijemput untuk ke Rumah Putih oleh Trump untuk ‘diraikan’ tanpa mempedulikan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Apabila mesyuarat Majlis Keselamatan mahu membuat keputusan membela rakyat Palestin termasuk menghentikan keganasan Israel, AS akan mengangkat tangan menggunakan veto menghalang ia diluluskan. Sikap AS inilah yang memungkinkan ‘dajal jelmaan’ semakin angkuh, biadab dan ganas.
Sememangnya kita tidak pasti apakah pengiktirafan negara Palestin akan mencapai matlamatnya atau tidak tetapi apa yang pasti selagi ada AS, selagi itulah Israel tidak akan membenarkan negara Palestin wujud biarpun hakikatnya sejarah sudah membuktikan negara Israel lah sebenarnya tidak pernah wujud di muka bumi Allah ini.
Jangan lupa juga AS dan Israel terus angkuh dalam isu Palestin kerana negara-negara Arab ‘malu’ menggunakan kekuatan mereka untuk menentang Israel biarpun Qatar sudah dicabul maruahnya dalam serangan baru-baru ini.
Selagi negara-negara Arab mengamalkan sikap di depan beria-ia mengecam AS dan Israel tetapi di belakang ‘terus bersalam dan berpeluk’ dengan pemimpin kedua-dua negara itu…selagi itulah ‘tanduk’ Trump dan Netanyahu ‘akan terus panjang’ untuk menghancurkan bumi Palestin.


