Mereka dipercayai terbabit sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025
Sindiket ‘counter setting’ turut mencemari Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/Masuk Laut apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman 12 individu, termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang berkhidmat di situ kerana disyaki terlibat rasuah bagi memudahkan urusan kemasukan warga Indonesia ke negara ini.
Pegawai penguat kuasa terbabit bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka.
Berita Harian melaporkan, Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman enam hari hingga 29 September ini, manakala 10 lagi direman lima hari hingga 28 September, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, hari ini.
Sumber memberitahu, suspek melibatkan 10 lelaki serta dua wanita berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.
“Berdasarkan siasatan awal, kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta ‘runner’ yang turut ditahan dalam operasi itu. Mereka dipercayai terbabit sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025,” katanya.
Susulan tangkapan itu, sumber berkata, SPRM turut merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71 juta, kereta jenis Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.
Katanya, SPRM juga telah membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu membabitkan nilai RM1.2 juta.
Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM telah menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Ops Setting.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Katanya, dua lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.


